Saturday 21 July 2012

Aku Sebatang Pokok Kelapa

     Tubuhku melambai-lambai bila ditiup angin. Liuk-lintukku seolah-olah menggamit seseorang. Keadaan ini menyebabkan ramai pengusaha chalet dan hotel menanamku. Aku mudah hidup. Campaklah benihku kemana jua, aku tetap akan tumbuh, itulah aku sebatang pokok kelapa.
      Batangku tinggi melangsing. Akar rerambut kuat mencengkam. Aku banyak ditanam di kampung-kampung. Mereka menanamku atas dasar kegunaanku. Aku juga digelar pokok seribu guna.
      Batangku jika dipotong-potong boleh dijadikan tungku untuk memasak. Batangku juga boleh dijadikan titi untuk menyambung dua daratan. Di kawasan pendalaman, batangku amat diperlukan kerana untuk menantikan sebuah jambatan agak sukar.
      Buahku ketika muda sangat enak dimakan isinya. Airnya juga sangat manis. Buahku yang tua pula isinya boleh dibuat santan dan minyak masak. Sabutku jika diproses boleh dijadikan berus, pengesat kaki dan sebagainya.
      Selain itu daunku juga banyak gunanya kepada manusia.Daunku boleh dijadikan daun ketupat. Ketika musim hari raya, permintaan daunku sangat tinggi. Lidiku pula boleh dibuat penyapu lidi. Penyapu lidi boleh digunakan untuk menyapu sampah, habuk dan sawang. Walaupun kini kehadiran lidiku tidak diperlukan, namun ada juga yang masih sudi menggunakan diriku.
      Masa silih berganti. Tubuhku yang muda kini melewati usia. Aku sudah trelalu tinggi. Kehadiranku kini dianggap menyusahkan orang lain. Tuanku mengambil keputusan untuk menebangku. Aku terima kenyataan itu kerana aku sedar kehadiranku di dunia ini adalah untuk berbakti kepada manusia. Beginilah nasibku sebatang poko kelapa.

No comments:

Post a Comment