Thursday 26 July 2012

Latihan Kefahaman 1


Baca petikan di bawah, kemudian jawab soalan-soalan berikutnya.


            Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, guru-guru serta para pelajar yang dikasihi sekalian.Terima kasih saya ucapkan kerana memberi peluang kepada saya untuk menyampaikan ucapan dalam majlis yang sungguh bermakna ini.

Hadirin sekalian,

            Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, tujuan majlis ini diadakan adalah untuk meraikan kejayaan pasukan bola sepak sekolah kita yang menjadi juara dalam pertandingan peringkat daerah baru-baru ini. Kejayaan yang dicapai ini sungguh bermakna kepada kita semua terutamanya kepada Guru Penolong Kanan Kokurikulum yang akan bersara pada hujung tahun ini.

            Kejayaan yang membanggakan ini tidak akan kita kecapi tanpa usaha yang bersungguh-sungguh serta sokongan daripada semua guru dan murid di sekolah ini.Terima kasih juga saya ucapkan kepada dua orang guru kita yang bertindak sebagai jurulatih dan pengurus pasukan bola sepak sekolah iaitu Cikgu Kamal dan Cikgu Rizal. Kepada semua pemain juga,diucapkan tahniah dan syabas kepada anda semua kerana mengharumkan nama sekolah dalam arena bola sepak.

Hadirin sekalian,

            Apa yang lebih membanggakan saya, melalui kejohanan ini juga beberapa orang pemain dari sekolah kita telah terpilih untuk mewakili pasukan bola sepak daerah Kuala Terengganu untuk ke kejohanan peringkat negeri. Besarlah harapan saya kepada semua pemain yang terpilih itu dapat menunjukkan prestasi yang membanggakan kami semua. Saya juga berharap kejayaan yang dicapai ini menjadi sumber inspirasi kepada pasukan-pasukan yang lain untuk menempa kejayaan yang sama pada masa akan datang.

            Akhir kata sebelum mengundur diri, saya memohon maaf sekiranya terkasar bahasa sepanjang ucapan saya tadi dan saya mendoakan kamu semua akan terus mencapai kejayaan bukan sahaja dalam bidang sukan tetapi juga dalam pelajaran.

            Sekian, terima kasih.

 
        31       1.  Siapakah yang menyampaikan ucapan di atas ?

            A         Guru sukan
            B         Guru besar
            C         Pengurus pasukan
            D         Ketua murid

        32       2.  Mengapakah  majlis itu diadakan ?

A         Sempena temasya sukan tahunan sekolah
B         Meraikan  persaraan Guru Penolong Kanan Kokurikulum
C         Meraikan kejayaan pasukan bola sepak sekolah mereka
D         Berjaya mencapai kejayaan di peringkat negeri

         33       3.  Perkataan menempa dalam petikan di atas bermaksud

A         mencapai
B         menggondol
C         menjulang
D         menempah

         34        4. Apakah harapan penyampai ucapan kepada pelajar-pelajar di sekolah tersebut?

A         Dapat mengekalkan kejuaraan yang diperoleh
B         Tidak mudah berputus asa sekiranya ingin berjaya
C         Mencapai kejayaan dalam bidang sukan dan  juga pelajaran
D         Pemain yang mewakili daerah dapat menunjukkan prestasi cemerlang         

          35       5.  Pernyataan berikut adalah benar tentang petikan di atas kecuali

A         Kejayaan yang diraikan adalah untuk pemain-pemain bola sepak.
B         Mereka telah mencapai kejayaan di peringkat negeri.
C         Peneraju utama kejayaan mereka ialah Cikgu Kamal dan Cikgu Rizal.
D         Kejayaan yang dicapai amat membanggakan guru besar sekolah mereka.

31    

No comments:

Post a Comment